Pernahkah anda dengar tentang Takaful? Mungkin ada di antara anda yang menganggap Takaful dan insurans adalah benda sama.
Takaful dan insurans kedua-duanya berperanan untuk memberi perlindungan dari segi kewangan jika terjadi sesuatu perkara yang tidak diduga kepada anda seperti kemalangan, penyakit kronik, kematian dan sebagainya.
Tetapi terdapat sedikit perbezaan di antara Takaful dan insurans.
Jika dijelaskan secara mudah, Takaful ini boleh dikatakan sebagai insurans versi Islamik di mana prinsip dan kaedahnya berfungsi berbeza dengan insurans biasa.
.
Insurans
.
Melibatkan persetujuan antara orang yang dijamin dan syarikat insurans. Persetujuan ini dikenali sebagai polisi dan anda perlu bayar kepada syarikat insurans untuk menjadi pemegang polisi. Bayaran ini pula dipanggil premium.
Premium ini akan dilaburkan oleh syarikat insurans mengikut pilihan syarikat itu sendiri. Anda tidak boleh memilih bagaimana premium itu dilaburkan, dan ini mungkin melibatkan perniagaan yang tidak patuh syariah seperti syarikat judi.
.
Takaful
.
Anda juga perlu membayar kepada syarikat Takaful untuk menikmati faedah yang ditawarkan. Mereka juga akan melaburkan wang sumbangan anda.
Namun, syarikat Takaful hanya akan melabur kepada perniagaan yang patuh syariah sahaja.
.
Apakah maksud Takaful?
.
Perkataan Takaful pada asalnya diambil dari perkataan bahasa Arab “kafala” yang bermaksud tanggungjawab, tanggungjawab bersama atau menjamin antara satu sama lain.
Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 mendefinisikan Takaful sebagai suatu perkiraan yang berunsurkan pertolongan secara bersama di mana pesertanya bersetuju untuk menyumbang kepada suatu kumpulan wang yang sama.
Kemudian kumpulan itu akan menyediakan manfaat kewangan bersama dan perlu membayar kepada peserta Takaful atau waris mereka sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang telah dinyatakan dan dipersetujui dahulu.
.
Konsep Takaful
.
Terdapat beberapa konsep syariah yang digunakan dalam Takaful.
.
a. Ta’awun
.
Ia merupakan persetujuan untuk saling membantu di bawah prinsip pertolongan bersama.
Takaful menggunakan konsep ini untuk pesertanya bersetuju menyumbang ke dalam suatu dana (Dana Tabarru’) yang memberi faedah kewangan kepada peserta Takaful atau waris mereka jika berlaku perkara-perkara yang telah dipersetujui terdahulu.
.
b. Wakalah bi al-ujrah
.
Ini adalah persetujuan di mana PruBSN dilantik untuk menguruskan perkhidmatan keseluruhan yang disediakan di bawah sijil Takaful anda.
Mereka berhak ke atas Caj-caj Wakalah sebagai upah perkhidmatan mereka di samping yuran prestasi di atas lebihan yang boleh diberikan daripada Dana Tabarru’.
.
c. Mudarabah
.
Persetujuan ini membenarkan syarikat Takaful melabur dana yang diberikan pesertanya dari ISA di mana sebarang keuntungan pelaburan akan dikongsi bersama peserta dan PruBSN mengikut nisbah perkongsian keuntungan yang telah ditetapkan.
.
d. Hibah
.
Hibah ini adalah pemberian. Mengikut pelan Takaful, PruBSN akan menyediakan Bonus EduAchieve sebagai Hibah yang dibayar daripada dana pemegang saham tertakluk pada syarat-syarat yang terdapat di dalam dokumen sijil.
.
e. Sadaqah
.
Ini merujuk kepada beramal secara sukarela dengan memberi faedah kepada orang lain. Amal ini terpakai untuk rider Ihsan di mana jumlah tertentu dari sumbangan peserta Takaful akan disalurkan kepada Dana PruBSN Jariyah untuk disumbangkan kepada pelan Mikrotakaful. Pelan ini membantu golongan miskin tegar dan keluarga miskin.
.
Fungsi Takaful
.
Terdapat tiga fungsi utama Takaful iaitu:
.
a. Perlindungan Pendapatan
.
Perlindungan ini menggunakan life Takaful & hibah Takaful untuk menggantikan pendapatan jika berlaku 3D iaitu Death, Disable dan Disease.
Contohnya, anda berpendapatan RM 5 000 sebulan dan disahkan menghidap sakit kronik sehingga tidak mampu bekerja lagi. Anda boleh gunakan pampasan sakit kritikal RM 300 000 untuk menggantikan pendapatan anda selama 5 tahun.
.
b. Pengekalan Aset
.
Apabila terjadi musibah, aset-aset tidak perlu dicairkan. Sebagai contoh, anda disahkan menghidap penyakit dan dimasukkan ke dalam hospital yang memerlukan kos rawatan sehingga RM 100 000 setahun.
Anda boleh gunakan medical card tanpa had tahunan untuk menampung kos tersebut tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan atau menggadai rumah dan sebagainya.
.
c. Penyelesaian Hutang
.
Ini merupakan fungsi MRTT atau MLTT untuk menyelesaikan hutang yang ditinggalkan jika berlaku kematian, lumpuh atau sakit kritikal pada pemegang Takaful.
Pampasan Takaful boleh digunakan untuk membayar hutang jika berlaku musibah. Contohnya, jika anda mempunyai hutang kereta tetapi terpaksa berhenti kerja akibat lumpuh atau sakit kronik, anda boleh menggunakan MLTT yang dilanggan ketika sihat untuk membayar hutang tersebut.
.
Kesimpulan
.
Demikianlah sedikit info tentang Takaful yang mungkin ramai di antara anda yang masih belum jelas.
Semoga dengan perkongsian kali ini dapat memberi anda penjelasan tentang Takaful dan menghilangkan keraguan yang mungkin ada di minda anda. Sekian sahaja dari kami untuk perkongsian kali ini. Semoga bermanfaat!