Kalau anda sedar, kos rawatan di hospital makin semakin meningkat dari masa ke semasa.
Orang ramai pun dah mula sedar tentang kepentingan untuk mengambil medical card bagi melindungi diri dan keluarga.
Boleh saja anda pergi ke hospital kerajaan yang lebih murah kos rawatannya, namun perlu lah menunggu giliran dengan lama untuk berjumpa doktor.
Selain itu, anda masih perlu mengeluarkan belanja untuk kos rawatan sesetengah penyakit kritikal walaupun telah mendapat subsidi.
Jika anda mempunyai medical card, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta yang lebih cepat rawatannya tanpa perlu menggunakan tunai.
Mesti anda dah semakin tertarik untuk mendapatkan medical card kan?
Namun sebelum anda decide pada mana-mana medical card, terdapat beberapa perkara yang anda perlu tahu dahulu.
Pada perkongsian kali ini, kami akan kongsikan kepada anda tentang medical card dan perkara-perkara penting mengenainya.
.
Medical Card
.
Ia merupakan kad perubatan yang membolehkan anda untuk mendapatkan rawatan di hospital panel swasta yang mengambil bahagian, samada pembedahan atau rawatan susulan bergantung kepada pelan insurans yang dipilih.
Kos rawatan tersebut akan dibiayai oleh syarikat insurans anda selagi had tahunan dan dan had seumur hidup masih belum dicapai.
.
5 Perkara Wajib Tahu
.
Terdapat lima perkara yang wajib anda tahu dan faham sebelum anda mencarum di mana-mana syarikat insurans untuk mengelakkan anda daripada ditipu.
.
- Premium
.
Pernahkan anda dengar tentang caruman? Premium atau caruman adalah benda yang sama iaitu sumbangan yang anda perlu bayar kepada syarikat insurans atau takaful.
Untuk menjadi pemegang polisi, anda perlu membayar premium samada secara bulanan, suku tahunan, atau tahunan tertakluk kepada syarikat insurans atau takaful anda.
Anda hanya boleh menikmati manfaat yang ditawarkan setelah anda menjadi pemegang polisi.
.
- Tempoh menunggu
.
Kebiasaannya syarikat insurans akan mengenakan tempoh menunggu kepada anda.
Ini merujuk kepada suatu tempoh di mana anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan insurans.
Bergantung kepada syarikat insurans, tempoh menunggu ini boleh berlangsung sekitar 30 hingga 120 hari dari tarikh pembelian polisi insurans.
Ini untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang penyakit semasa anda membuat perjanjian dengan syarikat insurans atau takaful.
Untuk perlindungan kemalangan, sesetengah syarikat insurans tidak mengenakan tempoh menunggu dalam polisi insurans mereka kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
.
- Hospital panel
.
Sebagai pemegang polisi dan medical card, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital-hospital yang mengambil bahagian dalam pelan syarikat insurans anda.
Hospital-hospital yang tersenarai ini dipanggil hospital panel.
Sebelum anda memilih medical card, adalah penting untuk anda periksa dahulu hospital panel yang tersenarai untuk memastikan anda mendapat servis hospital yang terjamin reputasinya.
.
- Jenis medical card
.
Terdapat dua jenis medical card yang ditawarkan oleh syarikat insurans atau takaful iaitu Standalone Medical Card.dan Rider Medical Card.
.
a. Standalone Medical Card
.
Pelan standalone ini merupakan pelan yang hanya menawarkan perlindungan perubatan tanpa pelan tambahan lain.
Ia tidak mempunyai polisi tambahan seperti pelan simpanan dan pelaburan dan selalunya lebih murah daripada pelan rider.
Ini kerana anda tidak perlu membayar remium lebih untuk pelan lain selain perlindungan perubatan.
Jika anda kurang berkemampuan dan hanya ingin mementingkan perlindungan kesihatan, ini adalah pelan yang sesuai untuk anda.
.
b. Rider Medical Card
.
Pelan rider ini merupakan pelan perubatan yang disertakan dengan perlindungan tambahan seperti simpanan dan pelaburan.
Premium untuk pelan rider ini adalah lebih tinggi berbanding pelan standalone kerana bayaran yang dibuat merangkumi perlindungan perlindungan perubatan bersama simpanan dan pelaburan.
Nilai yang disimpan juga akan bertambah setiap tahun hasil daripada pelaburan dan anda juga boleh mengeluarkan simpanan tersebut untuk kegunaan peribadi.
.
- Had perlindungan
.
Biasanya terdapat dua jenis had untuk perlindungan iaitu had tahunan dan had seumur hidup.
.
a. Had tahunan
.
Had tahunan merujuk kepada had maksima yang boleh dituntut daripada syarikat insurans atau takaful untuk membiayai kos rawatan jika berlaku musibah yang anda boleh tuntut setiap tahun.
.
b. Had seumur hidup
.
Had seumur hidup pula merujuk kepada had maksima yang anda boleh tuntut untuk membiayai kos rawatan sepanjang hayat selagi polisi insurans masih berkuat kuasa.
Setelah had seumur hidup ini telah dicapai, pelan perlindungan perubatan anda akan tamat secara serta merta.
Walau begitu, terdapat sesetengah pelan yang tidak mempunyai had seumur hidup dan pemegang polisi boleh menikmati manfaat perlindungan pada setiap tahun.
.
Kesimpulan
.
Penting sebenarnya untuk anda tahu perkara-perkara yang disebut tadi sebelum anda mendapatkan medical card dari mana-mana syarikat insurans.
Bukan apa, dikhuatiri nanti akan menyusahkan urusan tuntutan anda jika berlakunya apa-apa musibah.
Contohnya jika anda pergi ke hospital swasta yang tidak tersenarai dalam hospital panel medical card anda, anda tak boleh tuntut dengan syarikat insurans untuk membiayai kos rawatan anda.
Jadi, semoga perkongsian kali ini dapat memberi sedikit penjelasan kepada anda supaya anda dapat membuat pilihan yang tepat dalam memilih medical card.