Adakah anda sedang berfikir untuk membuat caruman insurans atau Takaful tapi masih kurang faham dengan maksud dan konsep kedua-dua ini.

Dalam perkongsian kali ini, kami akan menjelaskan kepada anda tentang Takaful dan juga perbezaannya dengan insurans konvensional.

Jika dilihat dari segi amnya, Takaful dan insurans berfungsi secara sama dengan memberi perlindungan kewangan jika terjadi musibah kepada anda.

Jadi apa beza Takaful dan insurans? Jom baca untuk ketahui bezanya.

.

Insurans

.

Dalam insurans, ia melibatkan persetujuan antara anda dan syarikat insurans yang dipanggil polisi.

Untuk menjadi pemegang polisi, anda perlu membayar kepada syarikat insurans. Bayaran ini pula dikenali sebagai premium.

Premium yang anda bayar akan digunakan oleh syarikat insurans untuk melabur di platform yang mereka kehendaki. Anda pula tidak boleh memilih platform mana yang akan dilaburkan oleh mereka.

Apabila ini berlaku, mereka mungkin akan melabur di perniagaan yang tidak patuh syariah seperti perniagaan berunsur judi dan riba.

.

Takaful

.

Seperti syarikat insurans, anda juga perlu membayar kepada syarikat Takaful dan mereka akan melaburkan wang sumbangan anda.

Bezanya, syarikat Takaful hanya akan melabur pada platform yang patuh syariah sahaja.

.

Maksud Takaful

.

Perkataan Takaful diambil daripada perkataan bahasa Arab “kafala” yang bermaksud tanggungjawab, tanggungjawab bersama atau menjamin antara satu sama lain.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 menafsirkan Takaful sebagai suatu perkiraan yang berkonsepkan pertolongan secara bersama.

Peserta yang bersetuju akan menyumbangkan wang kepada suatu kumpulan wang yang sama dan kumpulan itu akan menyediakan bantuan kewangan kepada peserta Takaful atau waris yang ditimpa bencana yang telah dipersetujui.

.

Konsep Takaful

.

Takaful berasaskan beberapa konsep syariah iaitu:

.

a. Ta’awun

.

Persetujuan untuk saling membantu di bawah konsep pertolongan bersama. Konsep ini digunakan oleh Takaful di mana pesertanya bersetuju untuk menyumbang ke dalam suatu dana iaitu Dana Tabarru’.

Ia memberi manfaat kewangan kepada peserta Takaful atau waris mereka sekiranya berlaku musibah yang telah dipersetujui terlebih dahulu.

.

b. Wakalah bi al-ujrah

.

Persetujuan ini membolehkan PruBSN dilantik untuk menguruskan perkhidmatan yang disediakan di bawah sijil Takaful anda.

PruBSN berhak ke atas Caj-caj Wakalah sebagai upah perkhidmatan mereka. Selain itu, mereka juga layak menerima yuran prestasi di atas lebihan yang boleh diberikan daripada Dana Tabarru’.

.

c. Mudarabah

.

Satu persetujuan yang membolehkan syarikat Takaful untuk melabur dana yang disumbangkan oleh pesertanya. 

Sebarang keuntungan daripada pelaburan ini akan dikongsikan bersama peserta Takaful dan PruBSN mengikut nisbah perkongsian yang telah ditetapkan.

.

d. Hibah

.

Bonus EduAchieve akan disediakan oleh PruBSN sebagai Hibah yang dibayar daripada dana pemegang saham di bawah pelan Takaful.

Hibah ini merupakan pemberian dan tertakhluk kepada syarat-syarat yang terdapat di dalam dokumen sijil.

.

e. Sadaqah

.

Sadaqah merujuk kepada beramal dengan memberi manfaat kepada orang lain secara sukarela. 

Amal ini terpakai untuk rider Ihsan di mana jumlah tertentu dari sumbangan peserta Takaful akan disalurkan kepada Dana PruBSN Jariyah.

Kemudiannya disumbangkan pula kepada pelan Mikrotakaful yang membantu golongan miskin tegar dan keluarga miskin.

.

Fungsi Takaful

.

Takaful mempunyai beberapa fungsi utama seperti:

.

a. Perlindungan Pendapatan

.

Perlindungan ini berfungsi untuk menggantikan pendapatan sekiranya berlaku 3D iaitu Death, Disable dan Disease menggunakan life Takaful & hibah Takaful.

.

b. Pengekalan Aset

.

Jika berlaku apa-apa musibah, anda tidak perlu mengeluarkan wang simpanan untuk membiayai kos rawatan. Anda boleh gunakan medical card yang anda ada tanpa perlu mencairkan aset-aset anda seperti wang simpanan atau rumah dan sebagainya.

.

c. Penyelesaian Hutang

.

Pampasan Takaful boleh digunakan untuk membayar hutang jika berlaku musibah yang telah dipersetujui terlebih dahulu.

Jika anda jatuh sakit dan tidak boleh bekerja, anda boleh gunakan MLTT yang dilanggan sebelum anda sakit untuk membayar hutang.

.

Kesimpulan

.

Apa yang dikongsikan pada kali ini merupakan info ringkas tentang Takaful yang mungkin masih ramai belum faham.

Anda boleh bertanyakan kepada pakar yang lebih arif tentang perihal insurans dan Takaful untuk anda mengetahui dengan lebih teliti.

Apapun semoga dengan artikel kali ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada anda mengenai Takaful.

Semoga bermanfaat.