Adakah anda sedang mempertimbangkan untuk mengambil insurans buat diri sendiri atau keluarga tersayang?
Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa jenis insurans yang anda boleh dapati di Malaysia.
Mungkin anda pernah dengar tentang insurans kereta atau insurans hayat kan?
Sebenarnya, ada beberapa lagi jenis insurans yang anda perlu tahu dan faham bagi membolehkan anda memilih insurans yang bersesuaian dengan keadaan dan keperluan anda sekeluarga.
Insurans sebenarnya penting dalam menyediakan perlindungan dari segi kewangan kepada anda jika berlaku sesuatu musibah yang tidak dijangka.
Walaupun masih ramai yang menganggap insurans ini tidak penting, namun bak kata pepatah “malang tak berbau”, kita tidak boleh menjangkakan sesuatu perkara buruk akan berlaku.
Bila sudah terlambat, barulah nak menyesal kerana tidak sediakan perlindungan insurans dari awal.
Dalam perkongsian kali ini, kami akan ceritakan kepada anda beberapa jenis insurans yang terdapat di Malaysia supaya memudahkan anda untuk memilih insurans yang sesuai dengan anda.
.
Insurans Hayat
.
Ramai yang keliru, adakah insurans hayat dan insurans perubatan adalah benda yang sama?
Sebenarnya kedua-dua jenis insurans ini mempunyai fungsi berbeza dan tersendiri.
Insurans hayat merupakan suatu perjanjian yang anda buat dengan syarikat insurans untuk mereka sediakan perlindungan kepada anda dan benefisiari jika berlaku sesuatu musibah kepada anda.
Sebagai balasan, anda perlu membayar premium yang telah dipersetujui kepada syarikat insurans tersebut selagi perjanjian atau sijil anda berkuat kuasa.
Jika berlaku kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, atau penyakit kritikal kepada anda, syarikat insurans akan memberikan sejumlah wang kepada anda atau benefisiari sebagai pampasan.
Insurans ini penting untuk anda yang merupakan ketua keluarga dan pencari nafkah buat anak dan isteri sebagai perlindungan untuk meringankan beban anda dan keluarga jika berlaku sesuatu kepada anda sehingga menyebabkan pendapatan keluarga terjejas.
.
Insurans Perubatan
.
Berbeza dengan insurans hayat, insurans perubatan ini merupakan perlindungan yang akan membantu anda untuk membiayai kos rawatan, ubatan, bil hospital dan sebagainya.
Medical card yang anda miliki membolehkan anda untuk mendapatkan rawatan di hospital panel yang kurang sesak berbanding hospital kerajaan yang sentiasa dipenuhi orang ramai.
Seperti yang kita tahu, kos rawatan di hospital swasta adalah lebih mahal berbanding hospital kerajaan.
Namun anda tidak perlu risau kerana dengan adanya medical card, segala kos rawatan di hospital panel akan dibiayai oleh syarikat insurans anda.
Jadi, anda dapat menikmati layanan hospital swasta tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan anda.
.
Insurans Hartanah
.
Insurans hartanah ini mungkin tidak terlalu diambil berat oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Disebabkan itu juga mungkin ramai yang masih belum faham tentang fungsi dan konsep insurans hartanah.
.
Jangan risau, ayuh kami terangkan kepada anda.
Terdapat tiga jenis insurans hartanah iaitu:
.
1. Polisi Isi Rumah
.
Ia merangkumi segala peralatan dan barangan yang berada di dalam rumah anda seperti barangan peribadi, perabot, perkakas dapur dan sebagainya.
.
2. Polisi Pemilik Rumah
.
Polisi ini menyediakan perlindungan untuk struktur fizikal hartanah anda seperti dinding, bumbung, garaj, pintu, pagar dan sebagainya.
.
3. Polisi Kebakaran Asas
.
Ia memberikan perlindungan jika berlaku kerugian atau kerosakan pada harta kediaman anda yang disebabkan oleh kebakaran atau kilat (tidak termasuk isi rumah).
.
Insurans Perjalanan
.
Dalam keseronokan melancong ke luar negara, anda perlu ingat juga bahawa musibah dan kecelakaan boleh berlaku di mana-mana.
Jadi sebelum anda rancang untuk melancong, pastikan anda sudah mengambil insurans perjalanan untuk melindungi diri anda dan keluarga jika ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Insurans ini akan memberikan perlindungan seperti pampasan pembatalan atau gangguan perjalanan, kos rawatan kesihatan luar negara, bagasi, kelewatan penerbangan dan bermacam lagi.
Walaupun kita sentiasa berdoa untuk selamat sepanjang perjalanan, namun insurans ini penting sekiranya berlaku juga sesuatu musibah kepada anda terutamanya jika di luar negara.
Sekurang-kurangnya boleh meringankan beban perbelanjaan anda di sana.
.
Insurans Kereta
.
Untuk semua pemilik kereta atau motosikal di Malaysia, anda wajib mengambil insurans kereta untuk kenderaan bermotor anda.
Jika kenderaan anda tidak memiliki insurans kereta yang sah, anda dianggap melanggar undang-undang dan boleh disaman!
Insurans kenderaan ini boleh dibagikan kepada tiga jenis, iaitu:
.
1. Pihak Ketiga
.
Insurans kereta jenis ini hanya menyediakan perlindungan terhadap kerosakan, kecederaan atau kematian pihak ketiga dan bukan melindungi kenderaan anda.
Ia merupakan syarat minimum yang wajib dimiliki oleh pemilik kenderaan di Malaysia.
.
2. Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian
.
Insurans jenis ini sama seperti Insurans Pihak Ketiga dengan tambahan ianya akan turut melindungi sebarang kerosakan atau kerugian pada harta benda pihak ketiga.
Sama juga, ia tidak melindungi kenderaan anda.
.
3. Komprehensif
.
Insurans komprehensif ini merupakan perlindungan yang paling lengkap kerana ia bukan sahaja menyediakan perlindungan seperti dua jenis insurans di atas, malah ia juga turut melindungi kenderaan anda.
Tambahan pula, anda boleh membeli perlindungan tambahan seperti Perlindungan Cermin Depan, Peril Khas, Pampasan untuk Masa Pembaikan Dinilai, Liabiliti Undang-undang kepada Penumpang dan banyak lagi.
.
Kesimpulan Jenis Insurans
.
Sebenarnya banyak jenis insurans yang anda boleh dapati di Malaysia bukan?
Kini anda pasti lebih faham dengan jenis dan fungsi insurans yang telah kami kongsikan kepada anda tadi.
Kami yakin, anda mesti boleh membuat pilihan yang baik untuk memilih insurans yang bersesuaian dengan anda selepas ini.
Jika anda mempunyai sebarang keraguan mengenai jenis-jenis insurans ini, anda boleh terus dapatkan nasihat daripada pengendali insurans yang lebih mahir dalam perkara berkaitan insurans ini.