Insurans kereta merupakan insurans yang wajib diambil oleh semua pemilik kenderaan bermotor di Malaysia.

Namun, mungkin ramai yang masih mempunyai pertanyaan atau kekeliruan mengenai insurans kereta.

Jika anda adalah salah seorang daripada mereka, anda sedang berada di artikel yang betul!

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan penjelasan mudah dan menjawab persoalan yang mungkin berada di fikiran anda tentang insurans kenderaan.

Pastikan anda baca sampai habis untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

.

Insurans Kereta VS Insurans Kemalangan Peribadi

.

Sebagai seorang pemilik kereta, anda wajib mengambil insurans kereta untuk setiap kereta yang anda miliki dan anda dianggap melanggar undang-undang jika tidak berbuat demikian.

Pada asasnya, Insurans ini berfungsi untuk membayar ganti rugi kepada pihak ketiga sekiranya berlaku kerosakan kepada kenderaan mereka yang disebabkan kemalangan, kecurian atau kebakaran.

Namun terdapat juga polisi yang akan turut memberikan perlindungan kepada kenderaan anda juga jika berlaku kerosakan atau kerugian yang berpunca daripada sebab-sebab yang disebut tadi.

Berbeza pula dengan insurans kereta, insurans kemalangan peribadi merupakan perlindungan untuk diri anda sendiri.

Anda akan diberikan pampasan jika berlakunya kecederaan, hilang upaya menyeluruh dan kekal, atau kematian yang berlaku disebabkan kemalangan.

Insurans ini hanya akan melindungi pemegang polisi sahaja dan tidak melibatkan pihak ketiga.

.

Perbaharui insurans walaupun jarang guna kereta

.

Walaupun anda jarang atau tidak lagi menggunakan kereta, namun sebagai pemilik kereta anda masih perlu memperbaharui insurans kereta anda setiap tahun.

Tanpa insurans yang sah, anda juga tidak boleh memperbaharui roadtax yang turut menjadi kewajiban untuk setiap kereta yang menggunakan jalan raya di Malaysia ada.

Tambahan pula, jika anda gagal untuk memperbaharui insurans pada waktu yang ditetapkan, kadar NCD anda akan menjadi semakin berkurangan untuk setiap tahun anda tidak memperbaharuinya.

Ini akan menyebabkan premium insurans anda menjadi semakin mahal bila anda ingin memperbaharuinya nanti.

Bukan itu sahaja, jika roadtax kereta anda tidak diperbaharui lebih tempoh tiga tahun, anda perlu mendapat kelulusan PUSPAKOM jika anda ingin memperbaharuinya semula.

Di sini mereka akan memeriksa keadaan bahagian kereta seperti brek, enjin, dan sebagainya sebelum memberi kelulusan untuk anda memperbaharui roadtax.

Urusan di PUSPAKOM pula akan mengambil masa yang agak lama jika ramai orang dan ini juga akan membebankan anda.

.

Kereta yang berusia lebih 15 tahun tidak boleh mengambil insurans komprehensif

.

Kereta lama lebih berisiko untuk mengalami kerosakan dan kemalangan berbanding kereta baru yang berusia kurang daripada 10 tahun.

Ini menyebabkan kebanyakan syarikat insurans tidak ingin menginsuranskan kereta-kereta lama, terutamanya kereta yang tidak lagi di bawah perjanjian jual-beli.

Namun, syarikat insurans akan menyarankan untuk kereta lama mendapatkan perlindungan pihak ketiga, kebakaran dan kecurian.

.

Polisi insurans dibatalkan sebelum tamat tempoh

.

Anda boleh membatalkan polisi insurans anda pada bila-bila masa jika roadtax masih belum dihidupkan dengan memberi notis bertulis kepada syarikat anda.

Jika roadtax telah diperbaharui, anda perlu membatalkan dahulu roadtax anda di JPJ, kemudian barulah insurans anda boleh dibatalkan.

Pada kebiasaannya, syarikat insurans akan menetapkan tempoh tujuh hari untuk anda membuat pembatalan dengan menyerahkan sijil insurans asal kepada syarikat insurans.

Jika sijil tersebut hilang atau musnah, anda perlu menyediakan satu akaun berkanun kepada syarikat insurans anda.

Anda juga layak untuk mendapat semula bayaran premium berdasarkan jangka masa pendek yang ditetapkan selepas pembatalan polisi dibuat.

.

Harga insurans kereta setiap tahun

.

Harga pasaran semasa bagi kereta anda merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi harga bayaran premium untuk insurans kereta anda.

Jika harga pasaran kereta anda turun setiap tahun, maka bayaran premium insurans kereta anda juga akan menurun.

Namun, bayaran premium insurans boleh meningkat sekiranya anda pernah membuat tuntutan insurans yang boleh mempengaruhi kadar NCD anda.

Bila tuntutan dibuat, kadar NCD anda akan kembali ke angka sifar dan ini menyebabkan bayaran insurans pada tahun seterusnya menjadi mahal semula.

.

Kesimpulan Insurans Kereta

.

Kami harap perkongsian kami ini dapat sedikit sebanyak menjawab persoalan yang mungkin anda ada sebelum ini.

Kami yakin setelah anda baca keseluruhan artikel ini, pengetahuan anda mengenai insurans kereta semakin bertambah.

Anda juga boleh membuat keputusan yang terbaik bila anda ingin mendapatkan insurans untuk kereta anda nanti.