Hibah ini secara ringkasnya bermaksud hadiah yang diberikan secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang yang lain semasa hidupnya.

Ia bukanlah termasuk dalam harta pusaka dan penerima hibah boleh menggunakan harta tersebut untuk dirinya secara mutlak.

Ahli keluarga yang lain tidak boleh mempersoalkan harta yang diperoleh penerima tersebut daripada pemberi.

Selain hibah takaful, mungkin ramai yang masih belum tahu bahawa anda juga boleh menghibahkan harta seperti wang, akaun bank, saham, perniagaan, tanah, rumah, pelaburan dan aset yang lain melalui syarikat Amanah.

Contohnya jika anda ingin menghibahkan rumah anda kepada isteri selepas anda meninggal dunia, anda boleh menggunakan khidmat syarikat Amanah untuk menyelesaikan urusan pindah milik rumah tersebut kepada isteri anda selepas anda meninggal.

Dalam perkongsian kali ini, kami akan berkongsi tentang hibah serta jenis-jenis hibah dan fungsinya.

.

Jenis-jenis hibah

.

Terdapat tiga jenis hibah iaitu:

  • Hibah Biasa
  • Hibah Amanah
  • Hibah Takaful

Mungkin ada sesetengah daripada anda yang menganggap bahawa Hibah Takaful boleh menyelesaikan masalah harta pusaka. Namun ingin kami beritahu, Hibah Takaful hanya melibatkan polisi takaful yang anda miliki sahaja. 

Urusan untuk harta seperti rumah, perniagaan, saham, kereta dan lain-lain tidak dapat diselesaikan.

.

a. Hibah Biasa (Hibah Mutlak)

.

Hibah ini merupakan pemberian harta atau hadiah yang berkuat kuasa serta merta walaupun pemberi hibah masih hidup.

Setelah harta tersebut sudah berpindah milik, ia bukanlah menjadi harta pemberi hibah lagi.

.

b. Hibah Amanah

.

Hibah amanah ini merupakan hibah yang akan berkuat kuasa setelah pemberi hibah meninggal dunia.

Nanti akan ada pemegang amanah yang akan memegang harta hibah dan menguruskan urusan pindah milik harta kepada penerima hibah.

Seperti contoh yang disebutkan tadi, jika seorang bapa ingin menghibahkan rumah kepada anaknya setelah beliau meninggal dunia, beliau perlu melantik individu atau organisasi sebagai pemegang amanah untuk menguruskan urusan pindah milik kepada anaknya setelah beliau meninggal dunia.

Setelah persetujuan telah dibuat, maka bapa tadi tidak perlu risau akan urusan pindah milik itu nanti.

Dengan kaedah hibah amanah, ini dapat membantu selesaikan masalah harta pusaka kerana isu harta pusaka tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

.

c. Hibah Takaful

.

Hibah takaful merupakan hibah yang diuruskan oleh syarikat takaful untuk membayar wang pampasan takaful selepas pemegang polisi takaful meninggal dunia.

Wang pampasan ini akan diberikan kepada penerima hibah yang telah dinamakan di dalam perjanjian hibah takaful yang ditandatangani semasa pemegang polisi masih hidup.

Hibah takaful ini tidak terlibat dengan harta pusaka dan hukum faraid.

.

Harta Pusaka

.

Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk memberi pencerahan kepada anda tentang harta pusaka.

Istilah harta pusaka ini bermaksud segala harta yang dimiliki si mati semasa hayatnya, kemudian ditinggalkan kepada waris-warisnya samada harta benda, hak dan semua yang menjadi miliknya setelah beliau meninggal dunia.

Terdapat beberapa harta yang termasuk dan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka.

.

Harta pusaka

  • Semua harta si mati yang diperoleh secara halal
  • Sewa yang belum dibayar kepada si mati
  • Hutang yang belum dibayar kepada si mati
  • Faedah yang terhasil daripada harta si mati
  • Simpanan KWSP bernama / tanpa penama
  • Penama Takaful
  • Barang hasil usaha si mati semasa masih hidup

.

Bukan harta pusaka

  • Harta yang telah dijual, diwakaf, atau dihibah
  • Khairat ematian
  • Pemberian orang-orang yang menziarahi kematian
  • Pampasan
  • Pencen terbitan
  • Bayaran PERKESO

.

Kesimpulan

.

Hibah merupakan satu jenis perancangan harta untuk memudahkan proses pembahagian harta yang dilakukan semasa pemilik harta masih hidup.

Dengan hibah, ini boleh mengelakkan isu perebutan harta apabila urusan pusaka dilaksanakan.

Diharap perkongsian kali ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada anda tentang hibah harta dan beberapa perkara yang berkaitan.Semoga bermanfaat!