Ramai yang semakin sedar akan kepentingan medical card pada masa sekarang. Manakan tidak, jika dilihat makin hari kos rawatan di hospital pun semakin meningkat.

Lebih-lebih lagi di hospital swasta. Nak pergi hospital kerajaan yang lebih murah, perlu tunggu masa yang lama untuk dapatkan rawatan.

Lagi pula untuk sesetengah rawatan penyakit kronik, anda masih perlu mengeluarkan belanja yang agak tinggi walaupun telah disubsidi.

Mungkin sebab itu lah ramai di antara anda yang ingin mendapatkan medical card untuk melindungi aset-aset mereka sekiranya berlaku musibah.

Namun sejauh manakah pengetahuan anda tentang medical card ini? 

Adakah anda tahu bagaimana menjadi seorang pemegang polisi boleh melindungi diri anda dan keluarga di saat memerlukan?

Jom baca perkongsian kali ini sampai habis dan kami akan ceritakan tentang medical card dan perkara-perkara yang anda perlu tahu mengenainya.

.

Apakah itu medical card?

.

Medical card atau kad perubatan merupakan kad yang memberi akses kepada anda untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, samada pembedahan, mahupun rawatan lain tertakluk kepada pelan yang dipilih.

Kos untuk rawatan tersebut juga akan ditanggung oleh syarikat insurans atau takaful anda.

.

Perkara yang anda perlu tahu tentang medical card

.

Sebelum anda memilih syarikat insurans, anda wajib ketahui beberapa perkara untuk mengelakkan anda daripada ditipu.

.

1. Premium

.

Apakah itu premium? Ia sebenarnya merupakan sumbangan atau caruman yang anda perlu buat kepada syarikat insurans atau takaful.

Anda perlu membayar premium untuk menjadi pemegang polisi, samada secara bulanan, suku tahunan atau tahunan bergantung kepada syarikat insurans atau takaful.

Apabila anda menjadi pemegang polisi, barulah anda boleh menikmati manfaat yang ditawarkan mereka.

.

2. Tempoh menunggu

.

Ini merujuk kepada tempoh di mana anda tidak boleh membuat sebarang tuntutan insurans.

Biasanya tempoh ini berlangsung sekitar 30 hingga 120 hari dari tarikh pembelian polisi insurans, bergantung kepada syarikat insurans anda.

Ada juga sebahagian syarikat insurans yang tidak menyertakan tempoh menunggu dalam polisi mereka untuk jenis perlindungan tertentu seperti perlindungan kemalangan. 

Ini kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

.

3. Jenis medical card

.

Terdapat dua jenis medical card yang biasa ditawarkan oleh syarikat insurans iaitu Rider Medical dan Standalone Medical Card.

.

a. Rider Medical Card

.

Pelan Rider ini merupakan pelan perubatan yang menjadi perlindungan tambahan kepada polisi hayat jenis pelaburan atau simpanan. 

Caruman atau premium untuk pelan ini biasanya lebih tinggi kerana bayaran yang dibuat bukan sekadar bagi perlindungan perubatan malah juga untuk simpanan dan pelaburan.

Nilai tabungan akan bertambah setiap tahun disebabkan oleh pelaburan dan ianya boleh dikeluarkan untuk kegunaan peribadi.

b. Stand-alone Medical Card

.

Pelan stand-alone ini merupakan pelan perubatan yang hanya menawarkan perlindungan perubatan tanpa pelan tambahan lain.

Anda hanya akan mendapat manfaat perlindungan perubatan sahaja tanpa apa-apa polisi tambahan seperti simpanan dan pelaburan.

Selalunya, pelan ini lebih murah daripada pelan rider kerana tidak perlu membayar caruman untuk pelan lain selain perlindungan perubatan.

Dipendekkan cerita, ia adalah sebuah pelan asas bagi mereka yang kurang berkemampuan dan hanya mementingkan insurans kesihatan untuk melindungi aset ketika terjadi musibah.

.

4. Hospital panel

.

Ini merujuk kepada senarai hospital yang mengambil bahagian dalam pelan syarikat insurans.

Anda boleh mendapatkan rawatan di mana-mana hospital yang tersenarai dalam hospital panel untuk medical card anda.

Oleh itu, penting untuk anda periksa terlebih dahulu senarai hospital panel bagi medical card yang anda ingin pilih.

.

5. Had tahunan

.

Had ini merujuk kepada had maksima yang ditetapkan oleh syarikat insurans untuk pemegang polisi tuntut pada setiap tahun selagi polisi insurans berkuatkuasa.

Contohnya, had tahunan untuk medical card anda adalah sebanyak RM100,000 setahun. Untuk sepanjang tahun tersebut, anda boleh menuntut sehingga RM100,000 untuk membiayai kos rawatan di hospital panel.

Jika kos rawatan anda melebihi RM100,000, anda perlu menanggung sendiri kos tersebut.

Namun, manfaat ini akan diperbaharui pada tahun selanjutnya dan anda boleh menuntut maksima RM100,000 lagi sehingga tuntutan anda mencecah had seumur hidup.

.

6. Had seumur hidup

.

Satu lagi jenis had yang anda perlu pertimbangkan sebelum memilih medical card iaitu had seumur hidup.

Had ini merujuk kepada jumlah maksima yang diperuntukkan kepada pemegang polisi untuk menanggung kos rawatan beliau sepanjang hayat selagi mana polisi masih aktif.

Setelah had seumur hidup ini telah tercapai, pelan perubatan yang dilanggan akan tamat secara serta merta.

Walaubagaimanapun, sesetengah pelan tidak mempunyai had seumur hidup dan pemegang polisi boleh terus menikmati manfaat pada setiap tahun.

.

Kesimpulan Mengenai Apa Itu Medical Card

.

Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi penjelasan kepada anda tentang medical card dan perkara yang anda perlu tahu sebelum memilih untuk melanggan. Semoga bermanfaat.