Hibah dan wasiat merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam kerana jika dilakukan dengan betul mengikut syarak, ia boleh mengelakkan konflik seperti perebutan harta oleh waris-waris.
Secara ringkasnya, hibah adalah pemberian harta yang dilakukan oleh pemberi hibah ketika dia masih hidup.
Manakala wasiat pula merupakan pemberian harta yang berlaku setelah kematian pewasiat harta tersebut.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan kepada anda tentang perbezaan hibah dan wasiat dan beberapa perkara mengenai kedua-dua konsep pemberian harta ini.
Pengertian Hibah dan Wasiat
Hibah
Hibah ini merupakan suatu akad yang dilafazkan oleh pemberi hibah di atas pemberian hartanya kepada individu atau pihak yang lain.
Contohnya jika anda ingin menghibahkan rumah anda kepada anak anda dengan mengatakan “Aku berikan rumah ini kepada engkau.”
Akad hibah ini akan terus berkuat kuasa serta merta semasa pemberi hibah masih hidup.
Harta yang boleh dihibah adalah ain harta dan bukannya hutang atau manfaat.
Hibah juga dibuat secara sukarela dan tanpa mengharapkan balasan atau tujuan untuk memuliakan seseorang.
Terdapat empat syarat dalam melakukan hibah yang sah iaitu:
- Pemberi hibah (al-wahib)
- Penerima hibah (al-mauhub lahu)
- Barang yang dihibahkan (al-mauhub)
- Sighah (ijab qabul)
Dalam melakukan ijab qabul, anda perlu melihat samada penerimaan atau al-qabd berlaku atau tidak.
Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu dan boleh melakukan tasarruf atau urusan terhadap barang atau harta tersebut.
Jika mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam hibah dan cukup dengan akad sahaja.
Jadi, jika berlaku kematian samada kepada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penerimaan barang, hibah tersebut tidak terbatal.
Namun menurut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu syarat sah hibah.
Oleh itu, jika salah seorang daripada pemberi hibah atau penerima hibah mati sebelum penerimaan barang, maka hibah itu akan terbatal.
Wasiat
Menurut mazhab Syafie, wasiat merupakan pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas terjadinya kematian pewasiat samada dengan menggunakan lafaz atau tidak.
Fuqaha’ mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain samada benda, hutang atau manfaat kepada penerima wasiat selepas kematian pewasiat.
APa yang kita dapat lihat di sini ialah wasiat hanya akan berkuatkasa selepas berlakunya kematian pewasiat.
Ini juga merupakan perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan hibah.
Wasiat akan dianggap sah apabila adanya ijab (penawaran) daripada pewasiat, dan juga tidak memerlukan qabul (penerimaan) semasa pewasiat masih hidup dan hanya diperlukan setelah pewasiat meninggal dunia.
Bolehkah menarik balik Hibah dan Wasiat?
Hibah
Menurut mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul.
Tetapi jika disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah itu tidak boleh ditarik balik.
Namun hibah itu boleh ditarik balik jika hibah tersebut dibuat oleh bapa, ibu, datuk, nenek dan usul yang lain kepada anak-anaknya selagi harta itu tidak berkait dengan orang lain.
Wasiat
Wasiat pula boleh ditarik balik dengan syarat selagi pewasiat masih hidup.
Namun begitu, wasiat boleh terbatal jika:
- Pewasiat jatuh muflis
- Pewasiat murtad
- Pewasiat meletakkan syarat yang tidak berlaku
- Penerima menolak wasiat tersebut
- Penerima wasiat mati sebelum pewasiat
- Penerima membunuh pewasiat
- Harta wasiat musnah atau rosak
Kesimpulan Artikel Beza Hibah dan Wasiat
Demikianlah sedikit maklumat tentang hibah dan wasiat secara ringkas dan beberapa perbezaan di antara kedua-dua konsep pembahagian harta ini.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk anda ketahui dengan lebih dekat lagi tentang beza hibah dan zakat.