Ramai di kalangan masyarakat kita yang sering berselisih faham dalam pembahagian harta apabila berlakunya kematian.
Lebih-lebih lagi jika yang tidak faham konsep faraid dan pembahagian harta mengikut syariah.
Untuk mengatasi masalah ini, semakin ramai orang yang memilih untuk mengambil hibah takaful sebagai persediaan untuk tinggalkan harta kepada waris sekiranya terjadi musibah kepada mereka.
Namun adakah semua orang faham akan konsep hibah dalam pembahagian harta dan selok belok proses untuk membuat hibah?
Pada perkongsian kali ini, kami ingin menceritakan secara ringkas tentang hibah beberapa perkara berkaitan hibah rumah.
Sebelum itu, mari kita lihat dulu maksud “hibah” yang sering disebut dalam istilah-istilah yang digunakan oleh syarikat takaful ini.
.
Maksud Hibah
.
Dari segi bahasa, hibah ini bermaksud hadiah atau pemberian secara sukarela kepada penerima tanpa mengharap balasan.
Pandangan syarak Islam pula mentafsir hibah ini sebagai satu kaedah perancangan pengagihan atau pemberian harta yang sah.
.
Hibah Rumah
.
Dengan konsep hibah ini, pemilik harta boleh memilih untuk meninggalkan harta seperti rumah kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Ini boleh memastikan keluarga pemilik harta tidak kehilangan tempat berteduh jika rumah tersebut jatuh ke tangan orang yang salah setelah beliau meninggal dunia.
Jika harta tersebut tidak dihibahkan semasa pemilik masih hidup, harta itu akan melalui proses faraid untuk dibahagikan kepada waris pemilik harta setelah beliau meninggal dunia.
.
Jenis Hibah Rumah
.
Hibah terbahagi kepada dua jenis iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat.
Terdapat perbezaan dalam keadah kedua-dua jenis hibah ini dan berikut adalah sedikit penerangan mengenainya:
.
- Hibah Rumah Mutlak
.
Hibah mutlak ini adalah seperti pemberian dari penghibah atau pemilik rumah kepada penerima.
Hak milik rumah akan bertukar serta merta tanpa syarat tambahan seperti perlu menunggu selepas penghibah meninggal dunia dan sebagainya.
Penghibah akan terus kehilangan hak ke atas rumah tersebut.
Jika penerima meninggal dunia terlebih dahulu, rumah tersebut akan menjadi harta pusaka beliau dan perlu diagihkan secara faraid untuk warisnya.
.
- Hibah Rumah Bercagar
.
Hibah rumah bercagar atau hibah bersyarat ini hanya akan berkuat kuasa setelah penghibah meninggal dunia dan akad perlu dibuat semasa penghibah masih hidup.
Ia dipanggil hibah bersyarat kerana ia perlu memenuhi syarat dahulu (seperti penghibah meninggal dunia) sebelum pemindahan hak milik rumah itu boleh berkuat kuasa.
.
Syarat Hibah Rumah
.
Untuk melakukan hibah rumah bercagar, penghibah perlu memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarikat amanah terlebih dahulu.
Hal ini adalah untuk memastikan hutang rumah tersebut telah diselesaikan semasa proses pindah milik dijalankan.
Antara syarat yang ditetapkan syarikat amanah adalah seperti:
.
Syarat Utama
- Penghibah wajib menulis wasiat dan melantik syarikat sebagai Wasi Utama
- Syarikat dilantik sebagai Pemegang Amanah Gantian di dalam Deklarasi Hibah dan Penerima Kuasa Wakil
- Dokumen ini dinamakan PRI HIBAH iaitu dokumen Deklarasi Hibah dan Surat Kuasa Wakil
.
Syarat Hibah Bagi Harta Bercagar
- Pri Hibah bagi harta bercagar hanya terpakai untuk Hibah dua hala sahaja.
- Benefisiari atau Penjaga Harta Benefisiari perlu menjadi pihak serta menandatangani Deklarasi Hibah.
- Penghibah mestilah merupakan pemilik berdaftar bagi harta bercagar tersebut dan segala pinjaman atau pembiayaan bagi harta itu adalah di atas nama pemilik berdaftar tersebut.
- Keseluruhan jumlah pinjaman perlulah dijamin oleh syarikat insurans atau takaful melalui MRTT atau MRTA dan melindungi keseluruhan tempoh pinjaman. Jika tempoh pinjaman rumah adalah 30 tahun, maka tempoh jaminan juga haruslah selama 30 tahun.
- Penerima hibah akan menerima harta hibah beserta bebannya. Jika hutang rumah tersebut masih belum langsai setelah penghibah meninggal dunia, penerima harus menyelesaikan hutang tersebut terlebih dahulu sebelum boleh berpindah milik.
- Surat Pemberitahuan mengenai Hibah Harta Bercagar akan diberikan kepada institusi yang memberi pinjaman. Pihak syarikat amanah akan menguruskan persediaan surat ini dan pemberi hibah perlu menandatangani surat tersebut bersama dokumen Deklarasi Hibah.
- Pemberi hibah dan penerima hibah yang dibenarkan hibah bercagar untuk situasi yang berikut adalah:
- Milikan Tunggal (1 nama dan 1 peminjam) – Harta boleh dihibahkan kepada sesiapa sahaja yang penghibah kehendaki.
- Milikan Bersama (2 nama dan 1 peminjam) – Pemilik yang membuat pinjaman sahaja yang boleh menghibahkan harta kepada sesiapa yang beliau kehendaki.
- Milikan Bersama (2 nama dan 2 peminjam) – Hibah hanya boleh dibuat antara mereka berdua sahaja.
- Syarikat amanah hanya akan meluluskan dan memproses hibah yang mempunyai dokumen wajib yang lengkap sahaja. Jika terdapat dokumen yang hilang atau tidak lengkap, arahan hibah tersebut akan ditolak.
.
Kesimpulan Hibah Rumah
.
Adalah penting untuk semua orang merancang pengagihan harta pusaka untuk mengelakkan pecah belah antara waris.
Sayanglah jika harta yang kita kumpul itu tidak diuruskan dengan baik dan menyebabkan waris kita teraniaya.
Ia juga mengelakkan harta pusaka daripada beku kerana masalah yang mungkin timbul semasa proses pembahagian harta.
Kami harap anda dapat merancang dan menguruskan harta anda dengan baik selepas mengikuti perkongsian kami kali ini.