Sering menjadi punca pertelingkahan antara ahli keluarga ialah masalah pembahagian harta pusaka.
Ini selalunya berlaku apabila pemilik harta tidak mempunyai perancangan yang baik untuk mengagihkan harta pusaka setelah beliau meninggal dunia.
Kerana itulah dalam situasi yang tertentu, pemilik harta amat digalakkan untuk membuat hibah untuk keluarga dan warisnya.
.
Maksud Hibah
.
Hibah ini pada bahasanya bermaksud hadiah atau pemberian yang diberikan secara sukarela tanpa mengharap balasan.
Dari segi syarak pula, ulama menganggap ia sebagai satu kaedah pengagihan harta yang sah.
Para ulama juga berpendapat bahawa hibah adalah amalan sunat yang amat dianjurkan.
Ini adalah berdasarkan dalil yang berikut:
- Surah Al Baqarah, ayat 177 yang bermaksud, “mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi.”
- Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah yang bermaksud, “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” Riwayat Al-Bukhari.
.
Jenis-jenis hibah
.
Hibah terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:
.
- Hibah Mutlak
.
Hibah ini dibuat secara langsung dan pemberian harta berkuat kuasa serta merta walaupun pemberi hibah masih hidup.
Penghibah akan kehilangan hak ke atas harta yang dihibahkan setelah harta tersebut bertukar milik ke penerima hibah.
Penghibah yang ingin hibahkan rumah kepada penerima hibah boleh terus membuat urusan pindah milik menerusi Borang 14A KTM di pejabat tanah.
.
- Hibah Bersyarat
.
Untuk hibah bersyarat, penerima hibah yang akan menerima hibah setelah syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan dipenuhi.
Di bawah hibah bersyarat pula terbahagi kepada dua jenis iaitu:
- Hibah Umra’ – di mana hibah itu berkuat kuasa sepanjang hayat seseorang.
Contohnya pemberi hibah berkata,”Rumah ini untuk kamu sepanjang aku hidup. Setelah aku mati, pulangkan kepada warisku.” ataupun “Rumah ini untuk kamu selagi mana kamu hidup dan akan kembali menjadi milikku jika kamu mati.”
Maksudnya hibah itu berkuat kuasa serta merta dan akan terbatal apabila pemberi atau penerima hibah meninggal dunia.
- Hibah Ruqba – di mana berkuat kuasa setelah terjadinya sesuatu seperti kematian. Contohnya jika pemberi hibah berkata, “Jika aku mati, rumah ini akan menjadi milikmu.”
Maksudnya hibah ini akan berkuat kuasa setelah kematian pemberi hibah dan rumah itu akan bertukar hak milik kepada penerima hibah.
.
Hibah Takaful
.
Hibah takaful merupakan sejenis hibah yang diuruskan syarikat takaful sebagai perlindungan kewangan kepada waris pemegang polisi.
Syarikat takaful akan membayar wang pampasan kepada penerima hibah yang dinamakan jika berlaku musibah seperti kematian kepada pemegang polisi.
Biasanya pemberi hibah adalah suami atau ketua keluarga dan akan menamakan isterinya sebagai penerima hibah yang akan menerima wang pampasan jika si suami meninggal dunia.
Hibah Takaful ini tidak mempunyai kaitan dengan harta pusaka dan tidak perlu melalui proses faraid.
.
Hibah Amanah
.
Hibah ini melibatkan perlantikan pemegang amanah untuk memegang harta yang ingin dihibahkan kerana penerima hibah belum cukup syarat untuk menerima hibah.
Contohnya seorang bapa yang ingin menghibahkan harta kepada anaknya yang masih di bawah umur.
Individu atau institusi akan memegang harta tersebut sehingga penerima cukup umur untuk menerima hibah tersebut.
Biasanya servis ini ditawarkan di syarikat amanah untuk menguruskan hal hibah yang sebegini.
.
Apakah jenis harta yang boleh dihibahkan?
.
Antara harta yang boleh dihibahkan adalah:
- Rumah
- Tanah
- Akaun simpanan
- ASB
Terdapat juga harta yang tidak boleh dihibahkan seperti:
- KWSP
- Wang pencen
- Harta yang haram
- Harta yang telah dijual atau diwakafkan
.
Siapakah yang digalakkan membuat hibah?
.
Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat, terdapat beberapa golongan yang amat digalakkan untuk membuat hibah. Ini mungkin dipengaruhi faktor dalaman seperti perebutan harta pusaka oleh waris-waris si mati dan sebagainya.
Antara golongan yang digalakkan membuat hibah termasuk:
- Pasangan yang tiada anak
- Pasangan yang mempunyai anak OKU
- Mereka yang mempunyai aset yang banyak atau kompleks seperti perniagaan dan sebagainya
- Mereka yang ingin membahagikan harta sama rata di kalangan anak-anak.
- Mereka yang ingin menyerahkan semua harta mereka kepada individu-individu tertentu
.
Berapa banyak daripada harta keseluruhan yang boleh dihibahkan?
.
Para ulama’ berpendapat bahawa tiada had yang ditetapkan syarak untuk pemilik harta menghibahkan harta.
Jika pemilik harta ingin menghibahkan keseluruhan hartanya sekalipun, hukumnya adalah harus.
Namun begitu, Nabi Muhammad SAW berpesan untuk bersikap adil kepada waris-waris supaya tidak menganiaya mereka.
Diriwayatkan oleh Al Bukhari. Daripada Nu’man bin Basyir mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah SWT, dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.”
.
Kesimpulan Untuk Jenis-Jenis Hibah
.
Secara ringkasnya, hibah merupakan satu kaedah yang boleh digunakan pemilik harta untuk merancang pengagihan hartanya setelah meninggal dunia.
Walaubagaimanapun, dapatkanlah nasihat pakar untuk membantu anda jika anda ingin membuat hibah untuk isteri, anak, atau waris anda.
Semoga artikel ini dapat memberi info berguna untuk anda dalam memahami hibah dan bahagian-bahagiannya.