Walaupun terdapat banyak kebaikan dalam melakukan hibah takaful, namun ia juga terdapat beberapa kekurangan atau keburukan yang mungkin ramai tidak perasan.

Memang benar dengan hibah, ia dapat mengurangkan risiko masalah dalam pembahagian harta pusaka setelah pemilik harta meninggal dunia.

Walaubagaimanapun, ia bukanlah penyelesaian kepada semua masalah selepas anda meninggal nanti, kerana ia mempunyai beberapa masalah yang perlu diatasi dengan bijak.

Namun, keburukan ini bukanlah keburukan sistem, sebaliknya kelemahan yang akan berlaku jika beberapa situasi yang bakal kami kongsikan ini berlaku.

Dalam perkongsian kali ini, kami akan terangkan secara ringkas tentang apa itu hibah dan beberapa kelemahan atau keburukan hibah. Jom baca.

.

Hibah Takaful

.

Hibah bermaksud hadiah atau pemberian yang dibuat secara terus ketika pemberi hibah masih hidup kepada penerima.

Penerima hibah juga tidak perlu melalui proses faraid dan harta yang ditinggalkan akan terus menjadi hak miliknya secara serta merta.

Hibah takaful ini pula adalah kaedah memberi manfaat kepada waris pemegang polisi takaful sekiranya beliau meninggal dunia atau mengalami cacat kekal sehingga tidak boleh mencari nafkah.

.

Kelemahan Hibah

.

Hibah boleh menyebabkan isu dalam harta si mati jika berlakunya perkara yang berikut:

.

a. Penerima hibah tidak pandai menguruskan wang

.

Bayangkan tiba-tiba anda menerima sejumlah wang yang sangat besar. Jika anda tidak pandai menguruskan kewangan, anda mungkin akan boros dengan wang tersebut.

Wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk tempoh 10 tahun boleh habis dalam hanya setahun.

Mungkin juga dihabiskan kepada perkara yang salah dan lalai seperti melancong dan berseronok dengan wang hibah yang diterima.

.

b. Penerima hibah meninggal dunia serentak dengan pemilik polisi

.

Misal kata si suami menamakan si isteri sebagai penerima hibah, namun berlaku perkara yang tidak diingini seperti kemalangan yang meragut nyawa kedua-duanya secara serentak.

Perkara ini akan menyebabkan pampasan hibah itu jatuh kepada faraid.

Yang menjadi masalahnya, siapakah yang akan menguruskan urusan faraid? Terutamanya jika anak-anak masih kecil. Urusan dan hak mereka belum dijamin akan terjaga dengan baik.

.

c. Penerima hibah bawah umur

.

Untuk seorang penerima hibah menerima segala wang pampasan hibah takaful, dia perlulah berusia 18 tahun dan keatas.

Andai kata si mati menamakan anaknya yang berusia 7 tahun sebagai penerima hibah, dia perlu menunggu 11 tahun lagi untuk menerima wang tersebut.

Sebab itulah anda perlu merancang dengan betul untuk menamakan penerima hibah supaya proses penerimaan wang pampasan boleh berjalan dengan lancar.

.

d. Penjaga salah guna wang pampasan

.

Seperti yang telah dijelaskan tadi, wang pampasan hibah takaful bukan hanya diberikan atas sebab kematian pemegang polisi.

Ia juga boleh dituntut sekiranya berlaku cacat hilang upaya atau cacat kekal yang menghalangnya daripada bekerja dan mencari nafkah.

Andai kata pemegang polisi sudah terlantar akibat lumpuh, dan penjaganya tidak amanah dalam menguruskan wang tersebut. Pasti akan menyebabkan masalah di masa akan datang kepada si pemegang polisi.

.

e. Hibah tidak diagihkan kepada anak-anak yang masih kecil

.

Dalam kebanyakan kes, ibu atau penjaga yang akan menerima hibah daripada suami yang telah meninggal dunia.

Suaminya mungkin telah merancang untuk membahagikan wang secara sama rata kepada anak-anak.

Namun, si isteri atau penjaga tidak mengagihkan wang mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan berlaku ketidakadilan kepada anak-anak tersebut.

Dalam pada masa yang sama, meskipun anak-anak yang masih kecil mendapat sejumlah wang besar, adakah mereka boleh menguruskan wang tersebut dengan sendiri?

.

Kesimpulan Keburukan Hibah

.

Jika anda berhasrat untuk mengambil hibah takaful demi masa depan keluarga dan anak-anak, itu sememangnya satu langkah yang bagus untuk berbuat demikian.

Sebaiknya rancanglah dan dapatkan nasihat daripada pakar sebelum anda mengambil hibah takaful untuk keluarga anda untuk mengelakkan masalah-masalah seperti yang disebutkan tadi. Semoga bermanfaat.