Medical card dan hibah, 2 benda yang sudah tidak asing lagi dalam dunia insurans dan takaful.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya, antara medical card dan hibah, mana yang lebih penting untuk keluarga?
Sebenarnya, kedua-duanya mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri dan bergantung pada keadaan seseorang untuk pilih yang mana lebih sesuai untuknya.
Dalam perkongsian kali ini, kami akan kongsikan tentang medical card dan hibah serta perbezaan dari segi fungsi dan kegunaan kedua-dua produk ini.
.
Medical card
.
Medical card atau kad perubatan adalah kad yang membolehkan anda untuk mendapatkan rawatan dan kemudahan di hospital swasta samada pembedahan atau rawatan lain tanpa menggunakan tunai.
Kos rawatan juga akan ditanggung oleh syarikat insurans atau takaful anda.
.
Fungsi medical card
.
Medical card ini berfungsi untuk mengelakkan anda daripada menggadai aset sekiranya berlaku apa-apa musibah kepada anda.
Misalnya anda disahkan menghidap penyakit kronik seperti kanser dan memerlukan kos rawatan yang tinggi, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital panel yang termasuk dalam senarai hospital panel untuk medical card anda.
Syarikat insurans anda akan menanggung kos rawatan yang perlu dibayar oleh anda.
.
Rawatan yang akan dilindungi medical card
.
Anda perlu merujuk polisi pelan insurans yang anda langgan untuk memastikan rawatan apa yang akan ditanggung oleh syarikat insurans anda. Namun biasanya, medical card akan meliputi rawatan yang berikut:
.
- Kos kemasukan hospital dan pembedahan – Segala kos yang terlibat dengan kemasukan ke hospital, pembedahan, bilik, ambulan, ubat-ubatan dan lain-lain.
- Penyakit kritikal – Biasanya terdapat 36 jenis penyakit kritikal yang disenaraikan oleh kebanyakan syarikat insurans termasuk kanser, jantung, strok, dan sebagainya.
- Rawatan jangka panjang – Rawatan untuk pesakit penyakit kronik yang memerlukan rawatan dalam tempoh masa panjang seperti rawatan kemoterapi.
.
Maksud hibah
.
Hibah bermaksud hadiah atau pemberian kepada seseorang dan hak milik hibah adalah mutlak dan tidak boleh disangkal.
Penerima hibah tidak perlu melalui proses faraid dan harta yang ditinggalkan tersebut akan terus menjadi hak milik penerima secara automatik.
Namun, manfaat hibah takaful ini hanya layak diperoleh oleh penerima apabila pemberinya meninggal dunia.
Di sini kita boleh lihat perbezaan antara medical card dan hibah takaful di mana medical card akan memberi manfaat ketika pemegang polisi masih hidup manakala hibah pula dapat diperoleh oleh penama setelah pemegang polisi meninggal dunia.
.
Medical card VS hibah takaful untuk:
.
1. Bapa
.
Sebagai ketua keluarga yang menyediakan nafkah untuk anak dan isteri, pastinya seorang bapa perlu menyediakan hibah buat keluarga.
Sekiranya berlaku musibah seperti kematian atau kecacatan kekal sehingga tidak boleh bekerja, sekurang-kurangnya keluarga anda masih boleh teruskan kehidupan dengan baik.
Jika anda berkemampuan, ambil lah juga medical card untuk mendapat perlindungan perubatan supaya mudah menyelesaikan masalah kos rawatan jika berlaku musibah kepada anda.
Cuma jika anda ingin memilih antara medical card dan hibah, kami sarankan anda untuk mendahulukan takaful nyawa dan menamakan waris anda sebagai penerima hibah.
.
2. Ibu
.
Jika anda seorang ibu tunggal yang bekerja untuk menyara anak-anak, kami juga sarankan anda untuk mengambil takaful nyawa dan sediakan hibah untuk anak-anak.
Walaubagaimanapun, wanita lebih cenderung untuk mendapat pelbagai jenis penyakit berbanding lelaki.
Jadi medical card juga penting sebenarnya untuk wanita. Jika berkemampuan, anda boleh mengambil kedua-duanya.
.
3. Anak-anak
.
Anak-anak terutamanya yang masih kecil lebih memerlukan medical card berbanding hibah kerana mereka boleh terkena banyak jenis penyakit.
Takaful nyawa juga kurang relevan untuk kanak-kanak kerana ibu bapa masih boleh mencari nafkah walaupun anak-anak meninggal dunia.
.
Kesimpulan
.
Medical card dan hibah takaful masing-masing mempunyai manfaat dan fungsi yang tersendiri.
Sebaiknya jika berkemampuan, ambillah kedua-duanya untuk menikmati manfaat yang lebih banyak jika berlaku musibah kepada anda.
Namun, jika anda kurang berkemampuan, pilihlah mengikut keperluan dan kesesuaian anda dan keluarga.
Anda juga boleh dapatkan nasihat pakar untuk membantu anda dalam membuat pilihan antara kedua-dua produk ini.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat untuk anda.